4 Aspek Perlu Anda Jaga untuk Kehidupan Seimbang Saat Bergelar Ibu
4 Aspek Perlu Anda Jaga untuk Kehidupan Seimbang Saat Bergelar Ibu
Dalam menjalani kehidupan seharian, banyak perkara yang sering bermain di minda seorang ibu sama ada dia bekerja atau memilih untuk menjaga anaknya sendiri di rumah. Namun kita masih mahu kekal melunaskan segala tanggungjawab yang sudah menjadi tugasan kita setiap hari. Tidak keterlaluan jika dikatakan, dalam segala yang kita lakukan hendaklah sempurna mengikut pandangan mata ini. Secara tidak langsung, ini memberi tekanan pada diri sendiri untuk memperbaiki kualiti gaya hidup seharian. Oleh itu, pentingnya untuk kita melihat aspek-aspek tertentu agar kehidupan yang dijalani lebih seimbang dan sihat.
1. Kompromi bersama suami
Aspek pertama adalah dalam hubungan berumah tangga, sememangnya tanggungjawab sebagai isteri sebagai keutamaan. Kadang kala si suami mengharapkan segalanya sempurna saat mereka melangkah masuk ke kediaman usai seharian menyempurnakan tugas di pejabat. Pada peringkat permulaan banyakkan berkomunikasi bersama pasangan jika anda merasakan masih ada ruang untuk diperbaiki. Tatkala anda memerlukan pertolongan, mintalah dengan baik tutur kata dan lembut bahasa. Sama ada anda bekerja atau memilih untuk menjadi suri rumah, keduanya menuntut penggunaan tenaga dan minda yang tidak kurang hebatnya. Ditambah lagi tekanan dan bebanan kerja pastinya pasangan anda merupakan pilihan sokongan yang terbaik. Tanyakan padanya apa yang selesa untuk dia lakukan. Ada yang memilih untuk memerhatikan si kecil saat menantikan anda melangsaikan tugasan tidak kurang juga yang memilih untuk sama-menyiapkan tugasan.
2. Momen bersama anak-anak
Sebagai seorang ibu, tidak dinafikan anda sering menjadi pilihan anak-anak jika mereka mahukan sesuatu. Untuk sebarang keperluan, mereka akan selesa untuk merujuk kepada anda sama ada dalam urusan harian mahupun perkara peribadi. Ini tidak tertakluk pada julat usia tertentu bahkan sehingga dewasa pun kadang kala anak masih lagi bertanya itu dan ini. Anggaplah ini sebagai momen membesarkan dan kenangan yang anda akan pegang selepas ini. Ya anak-anak akan membesar dan mereka akan mula berdikari. Pada masa itu, kebergantungan mereka pada anda akan mula berkurang. Jadi nikmatilah saat ini dan laluinya dengan penuh senyuman.
3. Tanggungjawab seorang anak
Sebenarnya dalam masa yang sama, kita masih lagi seorang anak. Khidmat bakti kepada kedua orang tua sangat penting. Si kecil anda walaupun masih kanak-kanak, akan memerhatikan perilaku dan layanan yang anda berikan kepada kedua orang tua. Tunjukkanlah contoh yang baik agar mereka sentiasa memandang tinggi pada anda. Semestinya anda akan dilayan dengan lebih baik lagi apabila usia tua mula menjengah kelak.
4. Penjagaan diri
Paling penting untuk keseimbangan kehidupan adalah memberikan perhatian pada diri sendiri. Banyak ceramah motivasi yang boleh anda dengar di alam maya mengatakan perubahan dalam perkahwinan terjadi apabila wanita mula mengabaikan perhatian pada dirinya sendiri. Ini penting untuk membina keyakinan diri. Sesuaikan apa yang anda miliki bersama apa yang anda idamkan. Jangan buangkan teman rapat dan kumpulan wanita anda kerana mereka mampu memandu anda ke arah yang lebih baik. Luangkan masa bersama apabila memiliki kelapangan. Bertukarlah pendapat dan pastikan anda sentiasa tahu mengenai perkembangan terkini.